Articles

6 Packs Bermula Di Dapur

View 266 : Today 1

abs-are-made-in-the-kitchen

Pernah tak anda membayangkan satu situasi di tepi pantai tanpa baju dan kelihatan brader-brader lain mengintai abs anda secara senyap? Ia merupakan impian anda bukan? Namun, menemui satu lagi artikel mengenai bagaimana hendak membentuk 6 packs yang sempurna pasti membuatkan anda hendak muntah hijau bukan? Hendak bagaimana lagi untuk membentuk 6 packs anda dengan cara yang lebih mudah? Pembedahan? Suntikan Steroid? Liposuction?

Ya benar semua cara itu akan membuahkan hasil dalam masa yang amat singkat dan efektif. Namun, selama manakah 6 packs ‘kebanggaan’ anda akan bertahan? Mungkin tidak akan kekal sampai setahun pun sekiranya anda tidak mengamalkan gaya pemakanan yang betul. Baik, sila muntah hijau sekarang kerana kita akan mulakan pembelajaran yang sama seperti dalam semua artikel mengenai pembentukan 6 packs iaitu, ‘pemakanan’.

Mahu atau tidak, pembentukan otot perut atau lebih gemar dikenali sebagai abs sentiasa bermula dari pemakanan. Pastinya anda pernah mendengar pepatah inggeris “Abs are made in the kitchen, not in the gym”? Pepatah yang sering diungkapkan sehingga sukar untuk mengenal pasti dari mana puncanya atau siapa yang memulakan pepatah tersebut. Tetapi, ia adalah benar. Berpeganglah pada kata-kata itu jika anda ingin membentuk dan menyimpan 6 packs anda selama-lamanya.

 

PENGAWALAN MAKANAN

Sebenarnya pemakanan untuk membentuk 6 packs ini adalah mudah. Sebagai permulaan, anda hanya perlu mengamalkan 3N dan 1L, iaitu NO SUGAR, NO OIL, NO SALT, dan LESS CARBOHYDRATE. Adakah antara anda yang membaca ini terus pengsan atau perut terus masuk angin? Rilek, berikut adalah penerangan mengapa perlu patuhi peraturan itu.

 

  1. No Sugar (Tiada Gula)

Mengapa ‘Tiada Gula’? apakah kesalahan mengambil gula dalam pemakanan seharian kita? Sebenarnya tidak salah pun untuk mengambil gula dalam pemakanan seharian kita, tetapi ia wajar di pantau kerana tenaga berlebihan dalam tubuh kita yang dikira dalam unit kalori, akan disimpan dalam bentuk lemak dibawah kulit kita. Oleh itu, 6 packs anda tidak akan kelihatan selagi anda mempunyai lapisan lemak yang tebal.

  1. No Oil (Tiada Minyak)

Minyak sebenarnya adalah lemak dalam bentuk cecair. Namun pengambilan minyak dalam pemakanan harian adalah perlu untuk tubuh kita kekal sihat. Namun, yang sering dikatakan NO OIL adalah apabila anda memakan makanan bergoreng. Makanan yang bergoreng mempunyai jumlah kalori yang berlipat kali ganda berbanding dari makanan yang tidak bergoreng. Contohnya, sebiji telur rebus mengandungi 77 kalori manakala, telur goring mata kerbau mengandungi 90 kalori. Sedangkan kedua-dua menu itu datang dari sumber yang sama, iaitu telur mentah.

  1. No Salt (Tiada Garam)

Garam pula mempunyai sifat water retention, iaitu daya menyimpan air dibawah lapisan kulit. Kerana itulah ramai otai bina badan mengklasifikasikan badan mereka sebagai ‘sebu’ dan ‘kering’ sedangkan kita lihat badan mereka amat sempurna. Sebenarnta mereka merujuk kepada kandungan air disebalik kulit mereka yang menyebabkan urat-urat mereka tidak timbul. Kering bermaksud segala urat mereka timbul sehingga tubuh mereka tampak seperti ‘google maps’.

  1. Less Carbohydrate (Kurangkan karbohidrat)

Karbohidrat sebenarnya adalah satu bentuk campuran yang mengandungi gula dan kanji. Erti kata lain, karbohidrat juga membekalkan tenaga kerana ia mempunyai gula. Oleh itu, kembali ke perenggan NO SUGAR tadi, tenaga berlebihan akan disimpan dalam bentuk lemak. Justeru, pengambilan karbohidrat berlebihan akan membuatkan anda menyimpan lebih banyak lemak. Lebih-lebih lagi sekiranya anda penggemar minuman manis, kerana anda akan mengambil makanan yang mengandungi gula sebanyak dua kali ganda.

 

KESIMPULAN

Tubuh kita mempunyai ejen membakar kalori secara semula jadi yang dinamakan metabolisma. Kadar metabolisma setiap individu berbeza antara satu sama lain. Kebiasaanya kadar metabolisma akan menurun secara semula jadi atas beberapa faktor iaitu; kecergasan, umur, dan pemakanan. Mengapa pemakanan turut tersenarai dalam faktor penurunan kadar metabolisma? Bayangkan keadaan suasana dalam peperangan, sebutir peluru mampu menembusi mangsanya dengan mudah sekiranya mangsa itu tidak memakai sebarang perisai. Begitu juga metabolisma yang menjadi peluru itu, tidak dapat membakar kalori anda sekiranya anda mengamalkan pemakanan yang mengandungi gula, minyak, garam, dan karbohidrat dengan jumlah yang tinggi dalam setiap hidangan, sepanjang hari, setiap hari. Justeru, peluang untuk anda memiliki 6 packs adalah amat tipis.

 

P/s: Anda adalah apa yang anda makan

Click to comment
To Top